Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lakukan ujian saringan COVID-19 di PPS, cegah kluster baharu – Agong

KUANTAN, 20 Dis: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku. 

Seri Paduka bertitah ujian itu membolehkan mereka yang didapati positif COVID-19 diasingkan daripada mangsa lain, selain semua pihak yang berada di PPS perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan memandangkan COVID-19 masih berlaku.  

“Ini (ujian saringan) perlu dijadikan keutamaan kerana tak mahu PPS menjadi kluster. Sila ambil perhatian pada siapa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini tidak boleh dikompromi,” titah Al-Sultan Abdullah semasa menyantuni 225 mangsa banjir di PPS Wisma Belia di sini hari ini. 

Turut berkenan berangkat menyantuni mangsa ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. 

Terdahulu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. 

Seri Paduka juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir sama ada yang berada di PPS atau tidak. 

“Untuk semua terutamanya yang berada di pedalaman, jika harus berpindah ikutlah arahan. Nasihatkan juga anak-anak jangan bermain air supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam taklimatnya kepada Seri Paduka berdua memaklumkan daerah itu mengalami hujan lebat melebihi 120 milimeter (mm) pada Jumaat lepas sebelum meningkat sehingga 203 mm pada Sabtu sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. 

Purata hujan bagi tempoh 24 jam yang direkodkan di stesen telemetri hujan di Pulau Manis, Ulu Lepar dan Sungai Lembing telah melebihi jumlah purata hujan bulanan sebulan, selain menyebabkan lima sungai utama termasuk Sungai Lembing, Sungai Kuantan dan Sungai Belat melepasi paras bahaya.  

Wan Mohd Zahari berkata setakat ini, sebanyak 43 PPS dibuka di Kuantan bagi menempatkan 13,642 mangsa daripada 351 keluarga dan operasi memindah dan menyelamat dilakukan 889 pegawai dan anggota pelbagai agensi seperti bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan diketuai polis. 

“Mangsa yang berada di PPS tidak akan dibenarkan terus balik ke rumah sebelum mereka disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan