Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Drama bersiri ALIBI bakal gegarkan skrin kaca TV anda

KUCHING, 20 Dis : Drama bersiri penuh aksi, ALIBI yang diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan akan mula ditayangkan pada hari ini di saluran TVS.

Drama 13 episod ini yang mengisahkan siasatan untuk merungkai misteri pembunuhan ahli perniagaan, Dato Tahir, terbitan Syaz Petra Sdn. Bhd. ini dijangka akan turut memacu sektor kreatif penerbitan drama di Sarawak.

Penerbitnya, Nora’Imi Dollah berkata, pihaknya menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan stesen TVS kepada anak tempatan untuk berkarya menerusi penghasilan drama berkenaan.

” Kami optimis untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti pada masa hadapan sekaligus membuktikan kemampuan pelakon-pelakon yang terdiri daripada anak jati Sarawak membawakan watak masing – masing dengan berkesan,” katanya pada pelancaran drama berkenaan di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhayati Ismail, Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Borneo, Sharkawi Amit; Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Seni Sarawak, Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Othman; Pengarah Eksekutif SMG, Sarbini Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Suhaimi Sulaiman.

Pada masa sama, Nora’Imi berkata, mereka berbangga kerana dapat mengangkat kandungan di Sarawak untuk dipersembahkan kepada penonton tempatan dan yakin drama ini akan menjadi sebutan penonton.

“Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus selama lima bulan melalui pelbagai proses termasuk penggambaran dan pasca produksi sehingga kelulusan stesyen, kita dapat melancarkan drama bersiri ALIBI pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, Norhayati berkata, pihaknya yakin penerbitan drama oleh syarikat tempatan dan disokong pula oleh stesen televisyen tempatan seperti apa yang dilakukan TVS akan memacu perkembangan industri kreatif di Sarawak.

Ujar Norhayati yang juga Ahli Lembaga FINAS, industri kreatif Sarawak kini mempunyai platform untuk terus berkembang pesat kerana turut memiliki penggiat seni tempatan yang berbakat.

“Alhamdulillah , kita sudah ada stesyen TV sendiri yang dapat menyumbang serta membantu mengembangkan industri ini terutamanya di Sarawak.

Kita harus bangga dengan apa yang dimiliki, bangga jadi orang Sarawak lebih-lebih lagi dalam industri kreatif ini,” katanya.

Antara pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Azam Pit, Ir Radzi, Arabyrd, Sharifah Elya, Kahar Jini dan ramai lagi pelakon kelahiran Bumi Kenyalang.

Drama ini akan disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa jam 7.15 malam di TVS saluran 122 Astro dan MyTV. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan