KUCHING, 19 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong , Fazzrudin Abdul Rahman, bukan sekadar mengekalkan kerusi yang disandangnya malahan turut meningkatkan majoriti kepada lebih 10,000 undi.
Berdasarkan keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, Fazzrudin yang berdepan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak menerima 12,544 undi sekaligus berkelebihan 11,209 majoriti berbanding dua pencabarnya.
Lebih meyakinkan, Fazzrudin turut ‘menghilangkan’ deposit wakil PKR, Ahmad Nazib Johari yang mendapat 1,335 undi serta Chan Haong Yen yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 836 undi.
Pada PRN 2016, Fazzrudin menang dengan majoriti 8,055 undi.
Mengulas kemenangan itu, beliau memberi kredit kepada pengundi di DUN berkenaan yang telah melaksanakan tanggungjawab dan memilih GPS.
” Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta penasihat jentera GPS DUN Tupong, Datuk Seri Fadillah Yusof dan semua jentera di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – TVS