KAPIT, 19 Dis : Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh membolehkan perancangan pembangunan dapat diteruskan dengan lebih berfokus, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharunya, Nicholas Kudi Jantai Masing.
Menurut Nicholas Kudi, kemenangannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak di sini membuktikan rakyat mahu kerajaan yang stabil dan menambah baik serta meneruskan pembangunan sedia ada.
“Ini menunjukkan rakyat di sini tahu bahawa kerajaan GPS mampu menjadikan aspirasi mereka sebagai kenyataan.
“Rakyat juga memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasi mendiang Datuk Amar Tan Sri Dr James Jemut Masing sekaligus meneruskan segala perancangan pembangunan untuk rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai pihak yang banyak memberi dorongan kepada dirinya, Nicholas Kudi memberitahu , isteri mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing iaitu Puan Sri Corrine Masing dan jentera parti yang telah bekerja keras membawa kemenangan di situ.
“Mereka telah menggunakan segala pengalaman yang ada sepanjang 12 hari kita berkempen. Kemenangan ini untuk semua rakyat di DUN Baleh,” katanya lagi.
Selain itu, dia menjelaskan melalui kerajaan GPS, pembangunan dan kemudahan yang ada di bandar akan ‘dibawa’ ke kawasan pedalaman Baleh.
“GPS tidak akan menjanjikan sesuatu perkara jika tidak dapat dilaksanakan.
“Kita bercakap berdasarkan fakta dan kebenaran , bukan cerita atau kisah dongeng semata-mata,” jelasnya lagi.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, Nicholas Kudi Jantai Masing memenangi kerusi Baleh dengan majoriti 1,909 , sekaligus mengalahkan calon l DAP, PBK dan PSB. – TVS