KUCHING, 18 Dis : Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke- 12 Sarawak membuktikan rakyat percaya akan manifesto dan kemampuan gabungan berkenaan.
Menurutnya, rakyat percaya GPS akan terus membawa perubahan pembangunan di luar bandar dan di bandar , sejajar dengan usaha menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kemenangan GPS pada PRN kali ini boleh dikatakan cemerlang apabila melebihi pencapaian pada 2016.
“Ini merupakan satu peningkatan pencapaian GPS di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,“katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas GPS mengisytiharkan kemenangan mereka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) , malam tadi.
Setakat pukul 12 tengah malam, GPS telah disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menang 75 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Ke-12 Sarawak semalam manakala saingan terdekatnya, Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendapat empat kerusi selain DAP dengan dua kerusi.
Keputusan DUN Mulu masih belum diumumkan berikutan faktor cuaca buruk dan kesukaran untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi.
Mengulas lanjut, Alexander Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, GPS masih mendapat mandat rakyat meskipun suasana politik agak mencabar.
“ Berdasarkan mandat sebesar ini, saya percaya GPS akan memenuhi segala manifesto yang telah digariskan kerana kami merupakan gabungan yang bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, pencapaian cemerlang yang dilakar juga didorong oleh keinginan rakyat untuk terus melihat pembangunan di samping mahukan hak mereka terus dipertahankan. -TVS