KUCHING, 18 Dis : Seorang warga emas ,Suhai Ali yang berkerusi roda untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak hari ini membuktikan walaupun hanya sekadar satu undi , namun ia tetap penting kepada masa depan negeri ini.
Ditemui di pintu masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang, Suhai berkata, dia gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab pada hari ini.
” Satu undi sebenarnya mampu memberi perubahan besar . Alhamdulillah urusan pengundian dipermudahkan,” katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.
Sementara itu, penyelia pusat mengundi SK Encik Buyong, Mohammed Arbee Ahmad berkata, seramai 1,829 pengundi berdaftar dijangka membuang undi di sini hari ini.
“Pusat mengundi di sini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bilik darjah dan dewan.
“Di bilik darjah kita ada lima saluran manakala di dewan ada empat saluran,” katanya.
Menurutnya, warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung diberikan keutamaan mengundi di saluran satu dengan dibantu oleh 14 petugas disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -TVS