Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

RASMI : GPS perlukan 12 kerusi DUN untuk ulangi pencapaian 72 kerusi PRN 2016

Gambar oleh Febbright James

KUCHING, 18 Dis : Di sebalik ramalan penganalisis politik bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan akan kehilangan ‘beberapa kerusi’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, perkembangan setakat ini menunjukkan GPS tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi – kerusinya.

Setakat pukul 9.50 malam ini, keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan GPS telah menang di 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 yang dipertandingkan.

Ini bermaksud GPS memerlukan 12 kerusi lagi untuk menyamai rekod cemerlang 72 kerusi ketika mereka berada di dalam Barisan Nasional (BN) yang meraih kejayaan cemerlang pada PRN 2016.

Kemenangan terbaharu dicatatkan GPS termasuklah di DUN Opar, Batu Kitang, Pantai Damai, Satok, Demak Laut dan Kota Sentosa yang majoritinya berada berhampiran kawasan bandar.

Sementara itu, sebentar tadi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung oleh TVS mengucapkan terima kasih kepada pengundi negeri ini yang memberi mandat kepada GPS.

Ini merupakan mandat pertama diperolehi Abang Johari selaku ‘kapten’ yang memimpin parti – parti tempatan yang mentadbir kerajaan negeri selepas bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem meninggal dunia pada 2017.

Abang Johari dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri , Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri Sarawak malam ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan