KUCHING, 18 Dis : Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak setakat pukul 9 pagi tadi mencecah 11 peratus, demikian menurut kemaskini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak bermula pada 7.30 pagi tadi dengan pembukaan sebanyak 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran bagi pengundi berdaftar di negeri ini menunaikan tanggungjawab masing – masing.
Proses itu membabitkan 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar bagi PRN itu yang akan diuruskan oleh seramai 46,565 pegawai pilihan raya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengundian berakhir pada 5 petang.
Sementara itu, suasana pengundian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, di Pantai Damai di sini berlangsung dalam keadaan yang tenang selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mempunyai seramai 20,506 pengundi berdaftar. -TVS