KAPIT 18 Dis: Keadaan hujan lebat di beberapa tempat mengundi di daerah ini terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram dan DUN Pelagus tidak menjadi halangan kepada pengundi untuk menunaikan kewajipan masing-masing.
Rata-rata pengundi yang ditemui TVS berasa lega kerana berjaya menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini.
Menurut Mohammad Saferi, prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan dilihat membantu kelancaran proses pengundian selain melindungi keselamatan pengundi daripada ancaman pandemik COVID-19.
“Justeru, kepada anda yang layak mengundi, jangan lepaskan peluang ini untuk memilih calon yang dapat meneruskan pembangunan di kawasan masing – masing,” katanya.
Bagi Azmi Junaidi pula, pengundi perlu bijak memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat dan bekerjasama dengan rakyat.
“Kepada anda yang masih berada di rumah sama ada di bandar mahu pun di rumah panjang, keluar mengundi sementara pusat mengundi masih dibuka.
“Mungkin ada berdepan masalah pengangkutan dan berada jauh dari tempat mengundi, tetapi jika ada alternatif lain, jangan tidak keluar mengundi demi kebaikan kita semua,” tambahnya.
Sementara itu, Penghulu Komuniti Cina di Kapit Sng Chee Hun mengajak pengundi Cina yang tinggal berdekatan dengan bandar Kapit keluar mengundi.
“Saya di sini menyeru supaya masyarakat Cina di Kapit ini menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.
“Anda boleh terus ke pusat mengundi yang telah ditetapkan. Ini kerana kita memerlukan undian anda dalam menentukan arah pembangunan di Kapit ini kelak,” jelasnya. -TVS