KUCHING, 18 Dis: Ramalan cuaca hujan yang dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di Sarawak hari ini menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri berada dalam keadaan bersiap -sedia.
Pengarah JBP Sarawak, Datu Khirudin Draman ketika dihubungi TVS berkata, semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri sudah diarahkan membuat rondaan dan pemantauan bagi menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka.
” Beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di sekitar Kuching diramalkan berdepan cuaca hujan petang ini.
“Saya berharap pengundi yang mahu keluar menunaikan tanggungjawab mereka supaya sentiasa berhati -hati,” katanya.
Sementara itu tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong mendapati suasana agak meriah di sini apabila pengundi kelihatan teruja untuk menunaikan tanggungjawab masing – masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak hari ini.
Menurut Penyelia Pusat Mengundi SK Encik Buyong, Mohammed Arbee Ahmad, seramai 1,829 pengundi berdaftar dijangka membuang undi di lima saluran di bahagian bilik darjah SK Encik Buyong.
” Seramai 1,609 pengundi pula ditetapkan untuk mengundi di empat saluran di bahagian dewan sekolah ini,” katanya.
Turut kelihatan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar tiba di pekarangan SK Encik Buyong sekitar jam 9.43 pagi tadi. -TVS