KUCHING, 16 Dis : Pemenang Pertandingan Olimpiad Matemtik 2021 Sarawak, Muhammad Aniq Ahmad Iskandar mendedahkan, dia bangun seawal pukul empat pagi untuk membuat ulang kaji sebelum menyertai pertandingan itu pada Selasa lepas.
Pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Greenroad itu berkata, dia berusaha bersungguh – sungguh kerana menyedari saingan dalam pertandingan itu sangat sengit.
” Sebenarnya saya tidak sangka muncul juara kerana ribuan pelajar lain turut mengambil bahagian,” katanya.
Muhammad Aniq berkata demikian kepada TVS selepas majlis pengumuman pemenang pertandingan itu di sini hari ini.
Pertandingan ini yang dianjurkan oleh Gagasan Pendidikan Malaysia ,Persatuan Pemaju Pendidikan Anak Sarawak (PAKSI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak berjaya menarik penyertaan 2,351 peserta dan berlangsung secara dalam talian.
Berkongsi lanjut ‘rahsia’ kejayaannya, Muhammad Aniq menyeru pelajar yang lemah dalam subjek berkenaan supaya tidak mudah berputus asa.
” Kita perlu belajar Matematik dengan sikap terbuka dan jangan mudah berputus asa,” katanya.
Sementara itu, dua lagi pelajar SMK Greenroad turut menonjol pada pertandingan ini apabila Leonard Bijak dan Tay Xin Ying yang juga masing – masing berusia 16 tahun dipilih sebagai pemenang perak dan gangsa untuk Anugerah Matematik Genius.
Sementara itu, guru pengiring untuk ketiga-tiga juara ini, Nashrima Benjamin berkata , bagi memudahkan pemahaman pelajar, kaedah pengajaran yang diterapkan mengandungi aktiviti yang menyeronokkan untuk menarik minat. -TVS