SADONG JAYA, 16 Dis : Penubuhan Pusat Komuniti Digital (DCC) merupakan antara usaha untuk menggalakkan generasi muda terutamanya pelajar menguasai kemahiran digital.
Ia selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi digital yang kini sedang berkembang.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo berkata , DCC di Perpustakaan Desa Sadong Jaya memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk mengakses dunia tanpa sempadan sekaligus akan memajukan mereka.
Sejajar dengan apa yang diperjuangkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menuju era digitalisasi, Aidel berkata , penubuhan DCC merupakan salah satu perkara yang ditunggu oleh masyarakat.
“DCC ini adalah satu platform atau medium baharu untuk masyarakat kita di kawasan luar bandar untuk melihat kepada revolusi industri secara amnya, dari awal lagi kita telah menyaksikan peralihan daripada analog kepada digital dari segi peralatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di DCC Sadong Jaya di sini hari ini.
Pada masa sama, Aidel berharap, DCC akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk setempat.
” Saya lihat ini merupakan revolusi yang telah berlaku dan sekarang semuanya bergantung kepada masyarakat , bagaimana mereka akan memanfaatkannya,” jelasnya.
Dikendalikan oleh Lembaga Multimedia Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, DCC dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti internet jalur lebar, peralatan komputer riba dan tablet, peralatan sidang video digital, komputer mikro, koleksi buku serta maklumat digital dalam talian dan sebagainya. -TVS