KUCHING, 15 Dis : Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa tempat di Sarawak akan dilanda ribut petir pada hari pengundian, Sabtu ini.
Meskipun tiada ramalan berlaku hujan di mana-mana kawasan pada sebelah pagi , namun ribut petir dijangka berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada petang.
Selain itu, hujan diramalkan berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman di sebelah malam.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan masa bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi bagi mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa.
SPR memaklumkan pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR semak atau di portal semakan daftar pemilih SPR.
Peringkat waktu yang digalakkan adalah 7.30 pagi hingga 9.30 pagi, 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang dan 3.30 petang hingga 5 petang. -TVS