BELAGA, 15 Dis : Produk kraf tangan berasaskan rotan yang dihasilkan oleh kaum Penan di Pekan Belaga sebenarnya sentiasa diburu pelanggan di sebalik isu kekurangan bekalan di pasaran.
Seorang peniaga, Normah Awang Abdul Rahman berkata, dia menjual pelbagai jenis kraf tangan yang diambilnya daripada masyarakat berkenaan di Long Urun, Belaga selain turut menjual produk – produk lain.
“Bagaimanapun proses untuk mendapatkan bekalan kraf tangan daripada mereka tidak mudah.
” Mereka (kaum Penan) tinggal jauh di pedalaman. Ini menyukarkan saya untuk mendapat bekalan kraf tangan yang dihasilkan oleh mereka. Sebenarnya produk yang mereka hasilkan sentiasa dicari oleh pelanggan yang datang dari luar Belaga,” katanya ketika ditemu bual TVS baru – baru ini.
Normah berkata, sekiranya kraf tangan dihasilkan pada skala besar oleh kaum Penan, dia percaya ia akan menjana lebihan pendapatan kerana turut mempunyai potensi untuk dieksport atau dijual secara dalam talian.
Ketika ditanya mengapa harga kraf tangan berasaskan rotan ini mahal, Normah menjelaskan ini kerana proses penghasilannya dilakukan sepenuhnya secara manual dan tidak bergantung kepada mesin.
Katanya, masyarakat Penan akan masuk ke dalam hutan untuk mencari dan mengumpul rotan liar yang kemudian dibawa pulang sebelum melakukan beberapa proses bagi menghasilkan kraf tangan.
“Proses membuat kraf tangan berasaskan rotan ini bukan sesuatu yang mudah kerana hanya rotan terpilih sahaja akan dibawa pulang,” katanya lagi.
Ujar wanita ini, disebabkan kraf tangan rotan Penan sangat diminati, dia memilih untuk membantu kaum itu dengan memasarkan produk -produk berkenaan di kedainya.
” Ini juga boleh memberi pendapatan kepada mereka,” katanya. -TVS