SARATOK 15 Dis : Pelan pembangunan untuk memajukan kawasan pedalaman di Sarawak akan terus diperkasa menerusi program pengukuran tanah hak adat bumiputera (NCR).
Timbalan Ketua Menteri , Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan tidak akan mengambil tanah secara percuma sebaliknya pampasan akan diberikan kepada pemiliknya.
Ujar beliau, proses pengukuran tanah dilaksanakan supaya kerajaan dapat melaksanakan projek-projek infrastruktur untuk kemudahan rakyat.
“Di Krian, masih ada beberapa tempat yang masyarakat telah dihasut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kononnya Seksyen 6 (Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018) adalah usaha kerajaan mengambil tanah kita. Itu bohong,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah kepada penerima di Roban Selatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah turut menyeru para penerima untuk menyertai program-program pembangunan yang disediakan oleh Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) .
Ujar beliau, antara manfaatnya ialah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan peserta.
“ Selain mendapat dividen, anda akan menerima geran tanah mengikut Seksyen 18,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Sarawak Land and Survey kerana telah memberi kerjasama yang begitu rapat kepada program Salcra. -TVS