KANOWIT, 15 Dis : Kerajaan Sarawak akan terus memperhebatkan pembangunan di Ngemah dan Machan , iaitu dua kawasan yang mempunyai nilai sejarah kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini, kata Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, dua kawasan ini menjadi simbolik kepada perjuangan rakyat Sarawak menentang pengganas komunis suatu masa dahulu.
” Komunis sudah tiada lagi dan kita mesti membangunkan kawasan di mana rakyat telah berkorban nyawa menentang komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Penghulu Seribu, Nanga Tada, di sini hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari turut ‘menasihatkan’ pihak tertentu supaya bertindak mengikut peruntukan undang – undang.
” Jangan seperti orang lain yang mahu merdeka dan terus minta keluar dari Malaysia. Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengikut undang-undang.
Kita minta kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu, beliau menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang yang mencadangkan penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah bagi membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan ini.
“Saya bersetuju dengan cadangan beliau. Justeru, kita akan membuat kajian bagaimana hendak melakukan persempadanan kawasan dan model yang bersesuaian untuk kita melaksanakannya,” katanya.
Katanya, Kanowit yang berada di bawah Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) akan menjadikan entiti itu sebagai model penubuhan ajensi pembangunan berkenaan.
“Kita akan memfokuskan kepada pembangunan sektor pertanian. Keduanya, pembangunan Teknologi Maklumat (IT) dan MySBRN juga disediakan di kawasan Ngemah ini,” jelasnya. -TVS