SIBU, 15 Dis : Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menukar strategi dalam usaha memadamkan kebakaran di sebuah pejabat kurier yang terletak di tingkat satu di Jalan Long Bridge di sini pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Suna Kahar berkata, ini kerana setibanya di tempat kejadian, anggotanya gagal membuka pintu besi utama premis berkenaan.
“Oleh itu, pelan B segera dilakukan iaitu melakukan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan tangga bersambung,” katanya di sini hari ini.
Menurut Suna, pemadaman dilakukan dari luar tingkap bangunan tersebut.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul jam 7.14 pagi dan sebuah jentera bersama 12 orang anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
” Kebakaran berjaya dikawal pada 7.35 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.04 pagi,” katanya,
Beiau memberitahu, kebakaran hanya memusnahkan peralatan dan struktur bangunan dengan anggaran 40 peratus kemusnahan. -TVS