BAU, 14 Dis : Seramai 420 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka turun mengundi awal di daerah ini.
Dua pusat mengundi telah dibuka di kawasan ini iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan di Kem PLKN Puncak Permai.
Menurut Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam, 267 dijangka hadir di Kem PLKN Puncak Permai manakala seramai 153 di IPD Bau.
“Ini melibatkan ATM dan pasangan serta anggota polis bersama pasangan yang bertugas dan tinggal di daerah ini,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Untuk makluman, seramai 386 atau 91.9 peratus telah hadir untuk membuang undi di Daerah Bau. -TVS