Harnaaz Sandhu dari India dinobatkan sebagai Miss Universe 2021 pada pertandingan edisi ke-70 yang berlangsung di Eilat, Israel semalam.
Sandhu yang mara ke peringkat akhir top two bersama dengan Miss Paraguay, Nadia Ferreira, menangis teresak-esak selepas namanya diumumkan sebagai pemenang baharu oleh pengacara, Steve Harvey.
Antara mesej berkesan disampaikan Sandhu yang juga pelajar Sarjana Pentadbiran Awam itu ialah menggesa seluruh penduduk dunia untuk mendapatkan vaksin bagi membolehkan sempadan dibuka.Â
Selain dua peserta berkenaan, ratu Afrika Selatan, Lalela Lali Mswane menduduki tempat ketiga manakala peserta Filipina dan Colombia juga memasuki senarai lima terbaik.
Penganjuran tahun ini turut mencetuskan kontroversi apabila Kerajaan Afrika Selatan menarik sokongan kepada Lalela ke pertandingan berkenaan kerana isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestine sebagai alasan.
Malaysia dan Indonesia juga memilih tidak menghantar peserta tahun ini disebabkan kedua-dua negara berkenaan tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.
Negara Islam iaitu Bahrain pula mencatat sejarah apabila mengirim wakilnya, Manar Nadeem Deyanni, buat kali pertama dalam sejarah pertandingan itu, begitu juga dengan Magribi.
Sementara itu, ratu Singapura, Nandita Banna mengakhiri kemarau 34 tahun negara itu tidak mara ke separuh akhir dengan kejayaan terpilih sebagai Top 16.
Di sebalik pengajuran berkenaan, Israel telah mengenakan sekatan perjalanan dalam usaha menghalang penularan varian Omicron yang ‘membawa bersama’ lonjakan kes COVID-19.
Kementerian Pelancongan Israel berkata, sekatan perjalanan dihadkan melibatkan kehadiran media dan peminat di pertandingan tersebut.
Para peserta melawati pelbagai tapak di Israel termasuk Gereja Makam Suci di Jerusalem, Tembok Barat Yahudi dan Laut Mati. – TVS dan Reuters