KAPIT, Dis 11: Golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram tidak melepaskan peluang menceburi bidang pertanian menggunakan kaedah fertigasi.
Hasilnya, ia turut memberikan pendapatan tambahan mencecah sehingga RM15000 sebulan selepas berjaya menuai hasil.
Salah seorang pekebun yang terlibat, Joseph Bara berkata, dia berminat dengan kaedah pertanian fertigasi selepas menghadiri kursus yang diadakan pada November 2020 dan mula melaksanakannya pada Februari 2021.
“Saya memilih menjalankan pertanian kaedah ini kerana ia mudah diuruskan serta masa yang fleksibel. Saya hanya melakukan aktiviti ini secara separuh masa kerana pada hari biasa saya akan bekerja.
“Apa yang diperlukan, hanya menetapkan waktu untuk proses siraman berdasarkan sistem disedia, tidak perlu menggunakan tenaga pekerja malah tidak perlu kerap turun ke tapak semaian,” katanya ketika ditemui TVS di kebunnya baru – baru ini.
Kata Joseph, hasil keuntungan yang diperoleh melalui fertigasi ini sangat menggalakkan dan menjadi salah satu punca pendapatan tambahan.
“Bagi tempoh sebulan, saya boleh mendapat keuntungan kasar mencecah RM1000 hingga RM1,500,” katanya.
Antara tanaman yang diusahakan oleh Joseph termasuklah cili besar sebanyak 350 beg poli semaian, terung asam (150 beg) dan tembikai jenis rock melon sebanyak lima beg.
Tambahnya, dalam tempoh sebulan, tapak fertigasinya boleh menghasilkan 60 hingga 80 kilogram (kg) cili besar dan terung asam 50 kg.
Sementara itu, Wiltone Kendawang berkata, hasil melalui pertanian fertigasi ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada sumber sayur yang dijual di pasaran.
“Sekarang harga sayur-sayuran di pasaran mengalami kenaikan harga. Lebihan sayur yang ditanam, boleh digunakan sebagai sajian harian tanpa perlu membeli di pasar,” katanya.
Katanya, selepas berjaya menuai hasil tanaman terung asam, dia sudah mendapat modal yang dilaburkan untuk membeli 200 beg poli semaian.
Jelasnya, antara cabaran yang dihadapi semasa menjalankan pertanian fertigasi ialah tanaman berisiko diserang penyakit.
“Contohnya , serangan kulat dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Kita perlu mempunyai kemahiran untuk mengawalnya supaya tanaman kita tidak mengalami rosak,” katanya.
Antara tips penting lain yang dikongsikan oleh Wiltone ialah, tanaman tidak boleh kerap dibaja.
Kedua- dua anak muda ini turut mendapat bantuan di bawah bantuan program pertanian hasil insiatif bekas wakil rakyat Bukit Goram, Jefferson Jamit.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM100 juta untuk Modal Teroka Pertanian (AFF) dan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) dan sebagai RM265 juta sebagai Dana Mudah Cara Pertanian (AFF) yang bertujuan meningkatkan kemahiran pertanian, penternakan dan perikanan. -TVS