Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Lingga dan Pantu dinaik taraf menjadi daerah penuh

ByFebbright James

SRI AMAN, 14 Dis : Daerah kecil Pantu kini bertukar status menjadi daerah penuh , bertepatan dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kegiatan ekonomi dan perkhidmatan di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah berkenaan juga akan memudahkan penduduk menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Kata beliau, pengisytiharan berkenaan juga akan memacu kegiatan ekonomi dan pembangunan apabila pejabat daerah akan diwujudkan untuk memastikan penyampaian kerajaan yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan penduduk.

” Kita (Kerajaan Sarawak) telah memperuntukan 70 peratus perbelanjaan keseluruhan negeri untuk pembangunan luar bandar.

“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada  Setiausaha Kerajaan Negeri , Datuk Amar Jaul Samion dan jabatan – jabatan yang terlibat kerana membuat kajian berterusan sehingga Pantu kini menjadi daerah penuh,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pantu Daerah Baharu di Sarawak di Dewan Sri Pantu di sini hari ini.

Yang turut hadir , Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.

Pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Aping, Pantu yang telah diwartakan pada 9 November 2020.

Ia melibatkan enam buah rumah panjang yang mempunyai kira- kira 300 orang penduduk komuniti Iban.

Abang Johari turut menyerahkan Surat Tawaran dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Kampung Baru, Pantu yang diterima oleh Penghulu- Penghulu di dalam daerah ini yang mewakili 41 orang penerima.

Sementara itu, Jaul Samion berkata, setelah Pantu dinaiktaraf sebagai daerah penuh, keluasan saiz pentadbiran telah bertambah daripada 731 kilometer (km) persegi kepada 833 km persegi iaitu tambahan sebanyak 102 km persegi.

” Pada masa sama, dianggarkan seramai 1,150 orang penduduk dari 18 buah kampung dan rumah panjang kawasan Ulu Sebuyau digabungkan ke pentadbiran Daerah Pantu.

“Ini menjadikan keseluruhan jumlah penduduk daerah ini sekitar 11,150 orang,” katanya.

Beliau memberitahu, perubahan status ini akan menjadikan urusan pentadbiran seperti pengurusan harta pusaka atau probet, pengurusan anak angkat, mahkamah bumiputera, pentadbiran Hal Ehwal Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta urusan permohonan kebajikan akan diuruskan di Pejabat Daerah Pantu tanpa perlu berulang alik ke bandar Sri Aman yang jaraknya sejauh 65 km dari situ.

Selain Pantu, Lingga juga turut dinaik taraf menjadi daerah penuh pada satu Majlis Pelancaran Lingga sebagai Daerah di Dataran Terubok, dengan tujuan yang sama iaitu memastikan Lingga berkembang pesat menjadi daerah yang membangun demi kesejahteraan rakyat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan