KOTA SAMARAHAN, 14 Dis: Seramai 12,585 anggota tentera dan pasangan masing-masing dijangka menjalani tanggungjawab membuang undi awal pada hari ini.
Mereka membuang undi dari 16 pusat mengundi yang melibatkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sarawak.
DUN terlibat ialah DUN N02 Tasik Biru, N03 Tanjung Datu, N10 Pending, N12 Kota Sentosa, N16 Muara Tuang, N17 Stakan, N31 Bukit Begunan, N52 Dudong, N55 Nangka, N70 Samalaju dan N72 Lambir.
Menurut Penyelia Pusat Mengundi, Zai Alim, lebih 2,000 anggota tentera serta pasangan masing-masing akan membuang undi di pusat berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Seramai 2,321 anggota tentera dan pasangan akan membuang undi menerusi lima saluran, bermula pada jam 9 pagi selepas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Zainuriah Mustapha menjadi individu pembuka tirai pembuangan undi awal di sini hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita TVS.
Selesai membuang undi pada jam 9.25 pagi, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain serta rombongan bergerak menuju Dewan Bukavu, Kem Penrissen bagi meninjau pelaksanaan proses pembuangan undi di pusat berkenaan yang juga merupakan pusat mengundi bagi DUN N17 Stakan.
DUN N17 Stakan menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk tiga muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak kali ini, antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Hamzah Brahim, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), George Young Si Ricord Junior, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Leslie Ting Xiang Zhi dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Atet Dego.
Sebelum ini, kerusi DUN N17 Stakan disandang oleh Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud yang menewaskan lawannya dengan majoriti 7,042 undi. -TVS