LEBIH sedekad bekerja di laut dengan syarikat carigali di pelbagai negara sebelum ke Kepulauan Caribbean atas tuntutan kerja, seorang pemuda dari Dalat, Sarawak tidak pernah lupa akan asal-usulnya.
Fidelis Michael, 35, yang merupakan chef pastri di sebuah kapal tangki cari gali di Pulau Aruba, Caribbean berkata, dia sangat bangga dengan tradisi suku kaumnya iaitu Melanau.
Bagi mengubati kerinduan terhadap kampung halaman dan keluarganya, Fidelis turut membawa terendak ke mana sahaja dia melangkah.
“Ibu saya, Julan Ajus merupakan seorang pembuat terendak. Oleh itu, ia akan sentiasa mengingatkan saya kepada dia dan Dalat.
“Di stesen tempat saya bertugas, saya turut meletakkan beberapa terendak sebagai hiasan,” katanya kepada TVS.
Ujar Fedelis, dengan membawa terendak bersamanya, ia seolah -olah membawa sebahagian daripada tradisi suku kaum Melanau dan juga Sarawak meredah seluruh pelosok dunia.
Fidelis juga sempat berkongsi beberapa keping gambarnya dengan penulis yang menunjukkannya terendak berlatar belakang pelbagai tempat dan negara yang pernah dikunjunginya.
Beribu batu di perantauan, hatinya tetap kuat ‘melekat’ pada tempat tanah tumpahnya darah.
“Betul kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, sejauh mana saya belayar, betapa maju sekalipun bandar raya atau secantik mana sekalipun pulau-pulau yang dikunjungi, ia tidak akan setanding pekan tempat saya dibesarkan,” katanya.
Menurutnya, momen kenakalan sewaktu kecil termasuk ‘curi-curi’ mandi sungai bersama rakan – rakannya di sebelah petang antara yang dirindui walapun acapkali dilarang ibunya.
Baginya, setiap kali dia pulang ke Dalat, ada sahaja pembaharuan dan pembangunan baharu di pekan kecil itu yang terletak berhampiran dengan Mukah.
Menurutnya, Dalat dahulunya tiada pembangunan dan hanyalah sebuah pekan kecil yang terpencil tetapi kini pesat membangun dan dilengkapi dengan infrastruktur moden.
“Dahulunya, struktur-struktur bangunan di Dalat tidak sekukuh sekarang, hampir kesemuanya deretan rumah kampung dan hampir tiada langsung bangunan dan rumah-rumah moden tetapi kini Dalat sudah berubah wajah,”katanya.
“Dulu tiada bekalan air sempurna dan ada kalanya terpaksa bergantung kepada air dari sungai.
“Tetapi Dalat kini sudah ada bekalan air bersih dan bermacam-macam lagi kemudahan termasuklah jalan raya yang sempurna dan pelbagai projek pembangunan baharu yang memanfaatkan rakyat di sini,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau bangga menjadi anak jati Dalat kerana dalam masa yang singkat, Dalat telah menikmati banyak perubahan yang mengagumkan.
“Dulu di Dalat, tiada Waterfront, hanya tepi sungai yang sepi tapi sejak wujudnya Waterfront, ramai anak muda yang mula berniaga sekaligus dapat membantu penduduk sini menjana pendapatan. Mereka kini tidak perlu ke luar bandar untuk mencari pekerjaan,” katanya.
Fedelis turut teruja apabila pekan kecil ini turut mempunyai Stadium Dalat, Bazarnita Dalat, Kompleks Kebajikan dan pelbagai lagi bangunan-bangunan moden yang memberikan imej baharu kepada Dalat.
“Yang paling saya bangga ialah di sini ada Galeri Warisan Melanau,” tambahnya.
Bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini, Fedelis memberitahu, dia akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat pada Sabtu ini. – TVS
Nota kaki:
Terendak ialah sejenis topi atau penutup kepala yang berbentuk kon. Kebiasaannya terendak tradisional diperbuat daripada daun nipah, buluh atau rotan dan merupakan salah satu warisan budaya masyarakat Melanau Sarawak Terdapat bangunan-bangunan di Bandar Mukah yang tercetus ideanya dari Terendak seperti Menara Pehin Setia, Bangunan RECODA dan Masjid Setia Raja.
Kini pemakaian terendak kepala bagi masyarakat Melanau sekarang adalah lebih kepada salah satu aksesori lengkap di dalam kostum tradisi masyarakat Melanau yang sering digunakan ketika menghadiri Pesta Kaul ataupun perayaan-perayaan tradisi masyarakat Melanau. Sekarang terendak Melanau bukan hanya untuk dipakaikan di kepala namun ianya juga sudah boleh menjadi penghias-penghias dekorasi rumah yang cantik dan unik.