KAPIT, 14 Dis : Proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram hari ini dijangka akan memberi ruang kepada seramai 92 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini.
Menurut Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi awal DUN Bukit Goram, Cerisologo Sabut, jumlah sebenar pengundi awal di DUN Bukit Goram ialah 97 orang.
” Empat orang telah mengundi menggunakan undi pos. Oleh itu, kita jangka 92 pegawai PDRM yang akan keluar mengundi hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan IPD Kapit di sini hari ini.
Dalam pada itu, seramai 20 orang pegawai SPR bertugas di sini bagi membantu proses mengundi.
Proses pengundian juga telah dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
Pada PRN ke -11 Sarawak lalu, Jefferson Jamit Unyat memenangi kerusi tersebut dengan memperoleh 4,596 undi.
Beliau menewaskan calon DAP, Larry Asap yang meraih 2,010 undi.
Kali ini Jefferson Jamit yang diturunkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan saingan lima penjuru apabila berdepan Puso Bujang (PBK), Robert Sawing (PBDSB), Robert Segie (PSB) dan Joseph Jinggut (DAP). -TVS