BAU, 13 Dis : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru sokongan penuh pengundi terhadap calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan Serembu iaitu Billy Sujang dan Miro Simuh.
Tegasnya, tidak wajar untuk masyarakat mempertaruhkan nasib mereka setelah apa yang dikecapi Kerajaan GPS selama ini.
“Kemenangan Billy kelak akan menjadi jambatan penghubung pembangunan kita di Sarawak.
Inilah yang harus kita fikir. Kita mahu masa depan yang lebih baik. Kita mahu kehidupan anak-anak kita pada masa akan datang lebih baik dari yang sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Kampung Jugan di Opar di sini hari ini.
Terdahulu, Awang Tengah turut menghadiri Majlis Penutupan Program Promosi Keusahawanan Pembuatan Kuih Muih di kawasan DUN Serembu.
Dalam majlis itu, Awang Tengah mahu kerjasama antara masyarakat kawasan itu dengan kerajaan diteruskan.
“Saudara Miro adalah seorang pemimpin yang benar-benar bekerja keras. Beliau menjalankan tugas dan tangungjawab dengan begitu baik dan jiwanya memfokuskan kepada mengangkat martabat serta membangunkan masyarakat kita,” ujarnya lagi.
Beliau berkata , GPS tidak terikat dengan agenda mana-mana parti politik di Semenanjung dan memberi contoh bagaimana pengundi di Melaka menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Orang Malaya (Semenanjung) sudah tolak parti (PKR) ini. Bagaimana orang kita (Sarawak) nak sokong? Parti (PKR) ini sudah hilang kredibiliti,” tambahnya.
Awang Tengah, yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Sari mengingatkan rakyat Sarawak supaya tidak keliru pada hari mengundi 18 Disember ini berikutan ketiadaan logo ‘Dacing’ atau Barisan Nasional di kertas undi.
Katanya ini adalah kali pertama GPS menggunakan platform sendiri pada pilihan raya. -TVS