Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Meneroka Gua Posih di Merembeh Caving Park , tempat persembunyian penduduk zaman penjajah

ByFebbright James

BAU, 13 Nov: Keunikan gua serta keindahan alam semula jadi di Kampung Merembeh, di sini mampu menjadi daya penarik untuk melonjakkan sektor pelancongan kawasan ini.

Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Nengeri (DUN) Serembu, Miro Simuh berkata, sebagai contoh Merembeh Caving Park yang mengetengahkan keunikan tersebut mampu mengalihkan fokus pembangunan luar bandar yang selama ini hanya bergantung kepada pertanian kepada sektor baharu.

Terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari Bandar raya Kuching, Merembeh Caving Park turut menampilkan Community Based Tourism (CBT) iaitu segala aktiviti termasuk pengurusan, jualan dan promosi dilakukan sendiri oleh penduduk kampung.

Gambar kredit Facebook Hiram Ting.

“Sebenarnya, Merembeh Caving Park ini dibangunkan hasil kerjasama dan gotong royong oleh penduduk kampung dengan peruntukan sebanyak RM70 000.

“Di sini terdapat gua yang besar iaitu Gua Posih Dan Gua Kayu. Setelah berbincang dengan penduduk kampung, kita membuat keputusan untuk membangunkannya sebagai pusat eko-pelancongan dengan menggunakan peruntukan yang diagihkan kepada saya,” katanya kepada TVS di sini hari ini.

Pintu masuk ke Gua Posih

Menurut Miro, beliau percaya keunikan yang dimiliki oleh kampung itu mampu menjadi daya tarikan di Bau.

” Di kampung ini juga terdapat lebih sepuluh produk pertanian yang diusahakan oleh penduduk kampung yang boleh dipasarkan untuk merancakkan lagi eko-pelancongan di sini,” katanya.

Antara produk berkenaan termasuk barangan kraftangan, sarang burung dan hasil pertanian selain kutipan bayaran tiket bagi pengunjung yang ingin masuk ke Gua Posih.

Sementara itu, Ketua Kampung Merembeh , Nohen Nawok berkata, beliau berharap pembangunan sektor pelancongan di kampungnya akan menjadi contoh kepada kampung lain supaya mengetengahkan keunikan kampung masing-masing dengan pelbagai cara.

“Menerusi peruntukan yang diberi, kami bangunkan kampung ini dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung khususnya golongan belia,” katanya.

Gerai makan yang diusahakan penduduk kampung

Gua di kampung ini iaitu Gua Posih dan Gua Kayu dikatakan turut menyimpan seribu satu kisah dan sejarahnya yang tersendiri.

Difahamaka, kedua – dua gua ini pernah menjadi tempat pesembunyian penduduk kampung ketika zaman penjajah.

Menurut Pengerusi Koperasi Kampung Merembeh, Agnes Jonep , berdasarkan cerita turun temurun, gua – gua berkenaan menjadi tempat persembunyian nenek moyangnya suatu ketika dahulu.

” Kini, kami menjadikannya sebagai tempat mencari sumber rezeki dengan mengutip sarang burung. Bagi mengekalkan sejarah ini, kami komersialkan tempat ini sebagai pusat eko-pelancongan,” katanya.

Ketika ini, gua ini dilengkapi dengan lampu solar yang akan menyala bermula pada pukul 1 petang untuk memudahkan pengunjung masuk ke dalam gua tersebut.

Selain gua, tarikan lain di kampung ini adalah ladang penternakan lembu yang dalam proses pembangunan dan selepas siap kelak, ia akan menjanjikan pengalaman menarik dengan pemandangan indah seperti yang terdapat di Kundasang, Sabah.

Salah satu gua tempat penduduk mengutip sarang burung

Menurut Pemandu Pelancong yang dikenali sebagai Tom, pembangunan yang giat dijalankan di kampung ini secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sepertinya.

“Saya betul-betul bersyukur sebab adanya pembangunan seperti ini, saya dapat menjana pendapatan dengan menjadi pemandu pelancong kepada pengunjung yang mahu masuk ke dalam gua,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang untuk mempelajari cara mengutip sarang burung secara tradisional.

Kebanyakkan penduduk di kampung ini merupakan suku kaum Bidayuh dan kegiatan ekonomi utama mereka adalah  pertanian dan penternakan. -TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan