KUCHING, 13 Dis: Mayat lelaki warga emas ditemukan dalam longkang berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Jalan P Ramlee, di sini pagi tadi.
Mangsa yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah tersebut, dikenal pasti sebagai Mohamad Samsudin, 66, dari Kampung Tabuan Ulu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah, pihak polis telah menerima laporan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Padungan kira-kira jam 6. 45 pagi tadi.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat,” tambah Ahsmon.
Beliau memberitahu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -TVS