Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan akan membina Kompleks JIM dan pos kawalan di Teluk Melano, Sarawak sebagai langkah meningkatkan keselamatan negara. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Anak Allahyarham ‘Tok Nan’ mahu bangunkan Pantai Telok Melano, jadikan hab pelancongan

SEMATAN (Sarawak), 11 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan melihat kawasan itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai antara hab pelancongan utama di Sarawak.

Berusia 30 tahun, anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak ,  Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem itu berkata penduduk Tanjong Datu berharap Pantai Telok Melano yang terletak di kawasan itu muncul sebagai antara destinasi tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara.

“Ada beberapa perkara yang disuarakan rakyat sini. Selain daripada penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik. Mereka juga ingin melihat Tanjong Datu ini ditransformasikan untuk menjadi sebuah hab pelancongan.

“Bagi saya kawasan (Pantai Telok Melano) yang paling indah dan cantik di Sarawak. Kawasan ini merupakan satu-satunya tumpuan untuk Tanjong Datu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Voluntourism: Penghijauan Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di sini hari ini.

Menurut Azizul, Pantai Telok Melano itu semakin dikenali oleh pengunjung daripada dalam dan luar Sarawak disebabkan kedudukannya yang terletak di hujung selatan Sarawak, berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

Sebagai anak kelima bekas Ketua Menteri Sarawak, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 ini Azizul berkata, beliau tidak mahu menumpang populariti allahyarham bapanya sahaja, sebaliknya beliau mahukan supaya pengundi melihat sendiri kepada kebolehan dan kelayakannya.

“Tipulah kalau saya katakan kedudukan saya sebagai anak bekas CM (Ketua Menteri) tidak memberi tekanan kepada saya, tetapi ia juga memberi motivasi untuk saya melakukan yang lebih bagus.

“Tekanan ini satu perkara yang biasa buat saya. Saya bekerja dengan baik di bawah tekanan. Saya percaya kepada rekod baik GPS selama ini, pengundi di Tanjong Datu pasti akan terus memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Allahyarham Adenan menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 2014 hingga 2017.

Pada PRN11 pada 2016, Allahyarham yang lebih mesra disapa ‘Tok Nan’ menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.

Susulan kematian beliau pada 11 Januari 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu dipilih bertanding mewakili BN dan memenangi kerusi itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan