Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Aidel Lariwoo fokus pembangunan infrastruktur di Sadong Jaya

ASAJAYA, 11 Dis : Pembangunan ekonomi rakyat terutama melalui industri pelancongan dan keusahawanan untuk kehidupan lebih berkualiti menjadi usaha berterusan yang ingin dilaksanakan oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Penyandang kerusi DUN itu berkata tumpuan akan diberi terhadap pembangunan kawasan yang mempunyai potensi tarikan pelancong di daerah kecil itu seperti kunang-kunang di sepanjang Sungai Batang Sadong yang akan membuka peluang untuk menjana pendapatan kepada penduduk tempatan. 

“Telah dibina beberapa mercu tanda termasuk menara ikonik, bazar sesiaran serta Galeri Warisan Sadong Jaya yang bakal memacu pembangunan ekonomi di daerah kecil Sadong Jaya ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembangunan yang telah dan sedang dilaksana turut menggunakan pendekatan hasil maklum balas yang diberikan oleh penduduk terutama bagi jangka panjang.

Aidel, yang sudah dua penggal mewakili kawasan itu, berazam memastikan pembangunan adalah mengikut ‘acuan’ keperluan penduduk tempatan bagi menjamin kehidupan lebih berkualiti sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup.

Beliau juga komited untuk memperkasa usahawan termasuk usahawan baharu serta memperkukuh usahawan sedia ada dengan menyediakan pelbagai kursus dan kemudahan yang diperlukan dalam pelbagai jenis perniagaan terutama dalam sektor pelancongan. 

“Untuk perancangan jangka panjang, kita akan membantu dengan menambah baik kebolehpasaran produk keluaran tempatan dari kawasan ini termasuk mencari pelabur swasta dalam membangunkan produk tersebut menerusi agensi berkaitan,” katanya. 

Justeru, Aidel berkata pembangunan koperasi usahawan penting dalam usaha memupuk dan membantu mereka menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Aidel ditentang oleh calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Nur Khairunisa Abdullah, calon PKR Piee Ling dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Jolhi Bee dalam persaingan empat penjuru. 

Hari pengundian PRN itu ditetapkan pada 18 Dis ini.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan