KUCHING, 9 Dis: Penglibatan ahli Persatuan Alumni Polis Sarawak dalam aktiviti pertanian di negeri ini sangat dialu-alukan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi penglibatan pesara polis dalam sektor berkenaan, ia sedikit sebanyak membantu dalam pembangunan masyarakat selain memacu pertumbuhan ekonomi.
“Produk tempatan seperti gula apong mendapat permintaan tinggi di Singapura.
“Inilah masanya untuk kita bergiat aktif dalam menghasilkan produk tersebut untuk dibekalkan ke negara berkenaan dan pasaran lain yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo dan Laman Sesawang Persatuan Alumni Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh penglibatan Persatuan Alumni Polis Sarawak dalam pelbagai aktiviti pembangunan masyarakat dan ekonomi negeri.
Pada masa sama, Abang Johari turut menasihatkan kepimpinan persatuan berkenaan supaya merangka pengurusan dengan baik bagi membolehkan berkembang dan seterusnya membantu ahli-ahli dari segi ekonomi dan sosial.
Abang Johari memberi contoh pucuk pimpinan persatuan juga boleh melihat dan mengkaji potensi pertanian yang ada dan boleh dibangunkan seperti pertanian ‘vertical’ yang semakin banyak diusahakan pada masa ini untuk menjana pendapatan. -TVS