KOTA KINABALU, 8 Dis : Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah mengalami kelewatan kerana beberapa faktor utama antaranya pandemik COVID-19 dan penduduk enggan berpindah, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu malam ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan rantaian bekalan bahan untuk projek berkenaan terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata projek berkenaan juga berdepan kedegilan penduduk yang terlibat untuk berpindah walaupun telah menerima pampasan, bagaimanapun kerajaan pada masa ini masih bertimbang rasa memberi ruang penduduk terbabit tinggal di rumah mereka hingga pandemik COVID-19 reda.
“Kerajaan sedang berusaha menyusun semula perancangan bagi mempercepatkan projek ini supaya projek ini dapat disiapkan lebih cepat daripada jadual,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2022 Sabah.
Lebuh Raya Pan Borneo Sabah terdiri daripada tiga fasa projek dan sebagai permulaan sebanyak 35 pakej kerja dilaksanakan dalam fasa satu projek membabitkan jarak 706 kilometer.
Bung Moktar berkata kerajaan sentiasa memantau kualiti dan cara kerja kontraktor terlibat dengan projek itu bagi memastikan masalah seperti paip pecah, jalan becak, jalan rosak dan banjir akibat projek itu tidak menyusahkan kehidupan rakyat.
“Sekiranya kontraktor gagal melakukan kerja penyelenggaraan seperti dinyatakan dalam kontrak, kerajaan akan melantik pihak ketiga untuk melakukan kerja tersebut dan kontraktor menanggung sepenuhnya kos kerja dilakukan pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata perbelanjaan perbekalan RM770.1 juta dan pembangunan RM244.97 juta diperuntukkan kepada kementeriannya dalam belanjawan itu tidak mencukupi untuk mengatasi sepenuhnya masalah infrastuktur asas di Sabah terutama jalan raya dan bekalan air.
“Mahu atasi masalah bekalan air sahaja pun kita perlu peruntukan berbilion ringgit tetapi kita kena faham kerajaan negeri tidak mampu, jadi kita buat yang terbaik…kita akan pastikan walaupun berdepan situasi ini kita ada komitmen dan kesungguhan untuk selesaikan masalah ini untuk rakyat,” katanya. -TVS