Oleh Zalinah Noordin dan Akma Salleh
MUKAH, 9 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian berikrar untuk memperjuangkan isu-isu belia yang amat dekat di hatinya.
Turun sebagai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini, Rosyton Valentine sebenarnya tidak asing lagi dalam memperjuangkan suara akar umbi rakyat Sarawak khususnya golongan belia di Tellian.
Pada masa sama, Rosyton berkata, beliau juga akan berkhidmat kepada penduduk pelbagai golongan di kawasan ini.
Calon berusia 35 tahun ini berkata, beliau telah lama terdedah dalam aktiviti kemasyarakatan dan belia.
” Pada 2007, ketika berusia 21 tahun , saya terlibat dengan program Rakan Muda yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ketika itu saya bertanggungjawab menganjurkan pelbagai program di peringkat akar umbi,” katanya.
Terdahulu , Rosyton bersama-sama wakil Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) hadir mengagihkan bantuan bakul makanan kepada golongan ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kampung Penat di sini hari ini.
Isnin lepas, Rosyton disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon bagi kerusi DUN Tellian dan akan berdepan saingan tiga calon lain iaitu Arwin Lim Abdullah yang ditampilkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainuddin Budug (Parti Bumi Kenyalang) dan Sait Junaidi yang mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Menariknya, kesemua mereka merupakan calon yang bertanding kali pertama.
Mengulas lanjut mengenai visinya, Rosyton yang pernah menjadi guru sandaran di beberapa buah sekolah rendah di sekitar Dalat berkata, penglibatan beliau dalam Program Rakan Muda telah ‘memperkenalkan’ dirinya kepada dunia politik dan secara tidak langsung memahami kemahuan golongan muda di sini.
Rosyton yang ketika ini dalam tempoh pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Open University, Sibu berkata, berdasarkan pengalamannya mendampingan golongan belia, kumpulan itu telah menunjukkan anjakan pemikiran dan melihat isu dalam kerangka yang lebih besar.
” Mereka (belia) bukan lagi mahu dilambakkan dengan program hiburan dan rekreasi semata – mata sebaliknya belia Malaysia dan Sarawak yang terdedah kepada arus digitalisasi mahukan program yang dapat melatih mereka ke arah keusahawanan, berkemahiran serta mempunyai jati diri supaya boleh menyumbang kepada negara,” katanya.
Pada masa sama, calon yang pernah menerima Anugerah Belia Sarawak ini berkata, sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat, beliau akan turut memfokuskan kepada golongan perniagaan kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan ini.
Ujarnya, ini kerana PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara malahan golongan belia juga semakin ramai yang berjinak – jinak dengan perniagaan kategori ini dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan.
” Ini seterusnya akan menyebabkan belia di Tellian tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan kerana di tempat sendiri mereka boleh melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi,” katanya.
Rosyton menambah, beliau melihat di sini terdapat banyak gerai makan, penjualan hasil ladang serta penghasilan produk – produk tempatan seperti kuih dan kerepek yang gulung tikar akibat pandemik .
” Mereka ini wajar diberi bantuan kewangan dan latihan yang diperlukan untuk bangkit semula,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk turun bertanding kali ini. -TVS