Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 6 Dis -- Calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Padungan, (dari kiri) Datuk Wee Hong Seng daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Soo Lina daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Chong Chien Jen (DAP) dan Raymond Thong Ee Yu daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) bergambar bersama, selepas Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon mengesahkan pendaftaran pencalonan mereka di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Suhu politik semakin bergelora di Padungan

KUCHING, 8 Dis : Selepas hujan waktu pagi minggu ini, jalanan semakin lengang dan sepi daripada kebiasaan di pusat pusat bandar Padungan.

Namun keadaan dan suasana persekitaran di situ tidak lagi sama sejak tercetus pandemik COVID-19.

Lebih daripada beberapa perniagaan ditutup khususnya kedai-kedai baharu walaupun pemilik premis menurunkan kadar sewaan  atau bahkan mengecualikan bayaran sewa semasa pelbagai fasa sekatan pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung penularan virus COVID-19.

Di sebalik rentak lesu namun suasana dijangka panas menuju ke arah ribut politik menghitung detik hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di kawasan penduduk kaum Cina di bahagian lama bandaraya Kuching ini yang telah menjadi kubu kuat pembangkang sejak 15 tahun lalu.

Pada 2006, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan beralih kepada PKR dan seterusnya  pada dua penggal berturut-turut selepas itu, ia ditawan oleh DAP yang mempunyai 92 peratus pengundi kaum Cina.

Pada PRN12 kali ini, kerusi DUN Pandungan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen diletakkan sebagai calon pilihan sehingga Gabungan Parti Sarawak (GPS) menamakan Datuk Bandar Kuching Selatan selama dua penggal,  Datuk Wee Hong Seng daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai pencabar utama.

Dua calon lain ialah Raymond Thong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan wakil Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo tetapi kehadiran kedua-dua pencabar tersebut ibarat si kerdil bertarung dengan gergasi.

Bagaimanapun, pakar politik berkata hasil pertarungan mungkin sengit dan tidak seperti diramalkan.

“Bagi kawasan majoriti Cina, ia menjadi kerusi paling panas dengan hasilnya amat tipis,” menurut seorang ahli perniagaan dan pengundi DUN Padungan ketika ditanya sama ada Chong atau Wee memiliki kelebihan.

Penganalisis  politik dari Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung berkata tidak seperti pertemuan sebelum ini, DAP menghadapi persaingan paling sukar untuk mempertahankan kerusi Padungan walaupun parti itu mempunyai pengikut tegar.

“Pasti ia akan menjadi persaingan yang baik. Datuk Bandar tahu setiap sudut Padungan dan beliau telah membuat perubahan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selesa di sana. Terdapat dilema dalam kalangan pengundi Cina siapa yang hendak dipilih,” kata Lee sambil menambah sebarang kemungkian boleh berlaku susulan kekalahan pengerusi DAP Melaka  di kawasan majoriti Cina bandar dalam PRN Melaka baru-baru ini.

Chong menggantikan penyandang dan peguam Wong King Wei daripada mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga selepas keluar daripada parti pada 26 Julai tahun lepas.

Wong memenangi kerusi itu pada 2011 dan mempertahankannya dengan majoriti lebih kecil iaitu 4,270 undi pada 2016.

Peter Pau, yang wewakili SUPP pada 2016, berkata walupun tewas, beliau berjaya mendapatkan lebih banyak undi kerana aura ‘feel good’ yang di bawa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dengan populariti Ketua Menteri itu mampu meraih lebih banyak sokongan masyarakat Cina.

Penggantinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut kagum dengan usahanya untuk mengubah Sarawak dengan visi pendigitalan untuk negeri Bumi Kenyalang.

“Saya akan turun ke lapangan untuk membantu GPS. Tetapi saya tidak akan meminta pengundi memilih kami kerana ia akan mengambil hak mereka untuk memilih. Apa yang saya meminta daripada mereka adalah untuk mendengar kedua-dua belah pihak terlebih dahulu,” katanya.

Padungan berbeza dengan kebanyakan kerusi lain kerana 70 hingga 80 peratus pengundi tidak tinggal di kawasan itu walaupun mereka terus menjalankan perniagaan di situ sebelum pulang ke rumah masing-masing di kawasan baharu yang lebih membangun.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Padungan menjadi semakin pudar apabila persekiraran perniagaan tidak begitu menyerlah seperti dahulu dan pembangunan di sini tidak rancak dan pantas seperti di kawasan berhampiran di Batu Kawah dan Batu Kitang,” katanya.

Pau berkata Wee adalah watak untuk mengeset semula Padungan kerana beliau amat arif dalam soal perniagaan dan memahami perubahan yang diperlukan.

Chong berkata keputusannya untuk bertanding di kawasan itu adalah untuk menghadapi rakyat selepas Wong meninggalkan parti itu.

Pengundi Padungan akan memberi kata putus pada PRN12, 18 Dis ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan