KUCHING, 7 Dis : Di sebalik ‘kontroversi’ yang dicetuskan oleh rakan sejawatnya Datuk Ali Biju, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, Datuk Willie Mongin pula dilihat memilih ‘haluan’ berbeza.
Sejak hari penamaan calon semalam, Willie tampil untuk menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding pada PRN Ke-12 ini.
Menerusi medium media sosial, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, menyokong Miro Saymour Simuh yang mewakili GPS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo itu turut memberikan sokongan kepada seorang lagi calon GPS iaitu Datuk Dr Jerip Susil yang merupakan bapa saudaranya.
Jerip kini dalam misi untuk mempertahankan kerusi DUN Mambong yang dimenanginya pada 2016.
Menariknya ketika itu, Willie juga bertanding di kerusi tersebut atas tiket PKR menentang ‘pak ciknya’ dengan mengumpul 2,645 undi namun tumpas kepada Jerip yang mendapat 6,161 undi.
Kerusi DUN Mambong juga ‘panas’ apabila DAP yang diketahui ‘rakan rapat’ PKR meletakkan calon mereka iaitu Sanjan Daik ketika itu, namun turut tewas apabila sekadar meraih 2,828 undi.
Dipetik daripada portal Utusan Malaysia, Willie berkata, tindakan beliau memakai baju GPS adalah bertujuan untuk memastikan penyokongnya memilih calon GPS sambil tidak memperkecilkan kemampuan Jerip.
” Beliau (Jerip) mempunyai penyokong sendiri dan saya juga ada penyokong. Saya turun padang untuk cuba membantunya,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, tindakan Ali Biju bertanding pada PRN Ke-12 Sarawak telah ‘membuka ruang’ untuk beliau dikenakan tindakan disiplin oleh BERSATU. – TVS