MUKAH 7 Dis : Melihat kepada pembangunan yang telah atau sedang dilaksanakan di sini, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, seterusnya bercadang untuk mempromosikan aneka juadah serta produk makanan di Dalat, seperti ‘rojak Kampung Brunei’.
Fatimah berkata, rojak tersebut tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat kerana ia mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri selain berpotensi untuk menarik pengunjung datang ke Kampung Brunei sebagai destinasi pelancongan.
“Rojak yang ada di sini sangat berbeza kerana mempunyai pelbagai jenis rojak. Malah saya kira ianya tidak ada di kawasan lain.
“Kita akan mempromosikan rojak ini dalam media sosial kerana tidak ramai yang tahu mengenai keistimewaan rojak ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Brunei, Dalat, pada malam Selasa.
Fatimah juga memberitahu, beliau telah menasihatkan penduduk di kampung ini untuk saling bekerjasama dalam usaha mempromosikan produk-produk yang terdapat di Kampung Brunei. – TVS