Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING 28 September 2015. Interview Minister of Land Development Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing at Bangunan Baitul Makmur, Kuching, Sarawak. NSTP/Salhani Ibrahim

Legasi James Jemut Masing terpahat di hati penduduk Baleh

KAPIT, 7 Dis : Legasi mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri yang meninggal dunia 31 Oktober lepas amat terpahat di hati penduduk Baleh, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya selama 38 tahun.

Berbanding tanggapan mereka yang belum menjejakkan kaki di kawasan yang masih segar dengan keadaan semula jadinya, DUN Baleh yang terletak di bahagian pedalaman tengah Sarawak sudah banyak berubah dengan pembangunan yang berlaku dalam tempoh itu.

Seorang pemimpin tempatan di Ulu Gaat, Baleh, Penghulu Bunsu Gerinang, 80, pernah melalui kesulitan hidup di kawasan itu sewaktu ia hanya boleh dihubungi melalui sungai untuk pergi ke Kapit, bandar yang paling dekat dengan kampungnya.

“Kalau dulu, kami dari Ulu Gaat mengambil masa selama tiga jam menggunakan perahu untuk ke bandar Kapit. Selain perjalanan yang berbahaya, penggunaan minyak juga sangat mahal kerana kami terpaksa menggunakan bertong-tong minyak untuk enjin sangkut kami,” katanya.

Kini kesulitan itu hanyalah satu kenangan sahaja ekoran kerancakan pembangunan yang bermula dengan Empangan Hidro Baleh yang terletak kira-kira 105 kilometer (km) dari bandar Kapit yang memangkin pertumbuhan projek-projek lain di kawasan itu.

Projek ini meliputi kemudahan jalan raya sepanjang 73km dari Nanga Mujong ke Nanga Antawau bernilai RM1.2 bilion yang telah siap dan digunakan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut yang memudahkan penduduk untuk berulang-alik ke Kapit menggunakan kenderaan darat.

“Kereta juga sangat banyak. Penggunaan minyak pun kurang sebab isi satu tangki penuh boleh guna untuk ulang-alik ke Kapit dan kegunaan di kampung. Nak ke Kapit pun hanya memakan masa dua jam sahaja,” kata Bunsu.

Menurut beliau, bekalan elektrik kini disambung ke rumah-rumah panjang di bawah jagaan beliau manakala paip untuk bekalan air dari sungai juga sedang dilaksanakan.

“Jika ini bukan satu bentuk pembangunan, jadi apa lagi yang boleh dikatakan sebagai pembangunan? Janganlah orang luar yang belum tahu apa sebenarnya yang berlaku cuba pula membandingkan pembangunan di Baleh dengan Kuala Lumpur sebab itu adalah perbandingan yang tidak adil,” katanya.

Bunsu berkata beliau bersama beberapa orang ketua rumah panjang sudah merancang untuk memulakan projek penternakan ikan dalam sangkar di Empangan Hidro Baleh itu apabila ia siap kelak dan menjangkakan projek itu nanti dapat meningkatkan pendapatan penduduk yang menyertainya.

Dengan pembangunan yang berlaku ini, Bunsu berharap sesiapa pun yang akan menggantikan mendiang James Jemut Masing sebagai wakil rakyat kawasan itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak mampu meneruskan pembangunan di kawasan tersebut demi keselesaan rakyatnya.

Bagi Tuai Rumah Kilau Ugap, pihak yang mendakwa tiada pembangunan berlaku di Baleh bukannya mereka yang pernah datang ke kawasan itu dan menyaksikan perubahan yang berlaku selama ini.

“Datang dan lihatlah sendiri perubahan yang berlaku. Di kiri dan kanan Hulu (Sungai) Baleh, Hulu (Sungai) Batang Rajang dan Hulu Sungai Mujong ada pelbagai projek pembangunan. Sekolah ada, klinik ada, sistem telekomunkasi sedang diatur dan bekalan elektrik menggunakan tenaga solar juga telah dilaksanakan. Pejabat Daerah Bukit Mabong juga sudah diwujudkan bagi memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan,” katanya.

Tuai Rumah Jimbun Ajai yang turut ditemui berkata rumah panjang beliau di Pulau Won kini sudah hampir untuk menikmati kemudahan elektrik.

“Pendawaian elektrik di dalam rumah sudah dibuat dan yang tinggal kini adalah pemasangan meternya sahaja,” katanya.

Selain itu, penduduk di rumah panjang juga kini sudah dapat menikmati kemudahan internet dengan pemasangan sistem hotspot WiFi ConnectMe oleh kerajaan.

“Kemudahan internet ini memang telah lama kami tunggu dengan sabar dan akhirnya kami dapat juga. Kami bersyukur kerana kemudahan ini dapat membantu anak-anak kami mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” katanya

Beliau menambah penduduk di rumah panjang itu mahu supaya legasi pembangunan mendiang James Jemut Masing diteruskan oleh penggantinya kelak.

James Jemut Masing yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 meninggal dunia pada usia 72 tahun. Beliau juga merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri.

PRN Ke-12 Sarawak yang memasuki hari kedua tempoh berkempen, DUN Baleh menyaksikan pertandingan empat penjuru, melibatkan anak saudara mendiang James Jemut Masing, Nicholas Kudi Jantai Masing yang mewakili GPS, Kenneth Usang George Lagong (DAP), Irwan Iskandar Sukarno Layau mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Koh Kumbong daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada 2016 ketika PRN Ke -11, James Jemut Masing memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 5,272 undi berbanding calon DAP, Agop Linsong yang hanya mendapat 479 undi.

Penamaan calon berlangsung semalam manakala pengundian awal pada 14 Disember dan pengundian pada 18 Disember depan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan