KUCHING, 7 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dayang Noorazah Awang Sohor melalui pengalaman baharu pada hari pertama beliau berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak semalam.
Dayang Noorazah yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dilihat melawat penduduk di Kampung Hulu, Sri Aman yang kediaman mereka dilanda banjir kilat.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau bersama jentera kempennya dilihat tiba sekitar pukul 8 malam untuk bertanya khabar penduduk yang terkesan.
Sementara itu ketika dihubungi TVS, Dayang Noorazah berkata, program kempen beliau pada hari ini diteruskan dengan pelbagai aktiviti.
“Pada hari ini saya melawat bilik gerakan diikuti ke Kampung Hilir,” katanya.
Menurutnya, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke rumah warga emas dan individu yang kurang sihat di Kampung Tanjung Engkabang.
” Hari ini saya juga turun sekali lagi melawat Kampung Hulu yang dilanda banjir,” katanya.
Hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Sementara itu, Dayang Noorazah yang merupakan calon muka baharu ditampilkan GPS terlibat dalam pertembungan enam penjuru kerusi DUN berkenaan.
Beliau yang menggantikan Datuk Simoi Peri kini berdepan lima pencabar lain termasuklah Abang Abdul Kassim Abang Bujang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Wan Abdillah Edruce Abdul Rahman daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Selain itu kerusi berkenaan juga ditandingi Baha Imam daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Abang Ahmad Abang Suni daripada Parti Sedar Sarawak (SEDAR) dan Mohd Sepian Abang Daud sebagai calon Bebas. -TVS