KAPIT, 7 Dis: Selain mampu meningkatkan tahap kecerdasan dan kecergasan golongan belia, fasiliti sukan yang baik juga memberi peluang kepada golongan belia di sini untuk bergiat lebih aktif dalam program kesukanan.
Hal ini selaras dengan inisiatif kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan penyertaan belia dalam pembangunan Sarawak dan memperhebatkan bidang sukan.
Berdasarkan tinjauan TVS, rata-rata belia di Kapit menginginkan kemudahan sukan sedia ada dinaiktaraf dan mahu fasiliti sukan yang lain turut disediakan oleh kerajaan.
Menurut Mohd. Suffian, golongan belia di Kapit masih memerlukan kemudahan sukan yang boleh digunakan mereka menjalankan aktiviti sukan yang berkaitan.
“Fasiliti sukan di Kapit ini penting supaya golongan belia boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan menyihatkan tubuh badan.
“Sebelum ini tular mengenai keadaan gelanggang futsal di Sri Baleh yang mengalami kerosakan yang teruk dan ini menyukarkan belia tempatan bermain pada waktu lapang,” katanya.
Kata Mohd. Suffian, kewujudan fasiliti sukan di Kapit juga secara tidak langsung akan memberi peluang pekerjaan kepada belia dalam mengurus dan menjaga fasiliti sukan berkenaan.
Bagi Michael Labang pula, di Kapit ketika ini memerlukan pusat latihan industri yang dilihat berpotensi menyediakan kemahiran kepada golongan belia.
“Pusat latihan kemahiran ini penting untuk lepasan sekolah, graduan kolej atau universiti mendapatkan latihan seperti kemahiran membuat kuih, kraftangan, salon dan kecantikan tanpa perlu belajar atau mengambil kursus di luar. Contohnya tidak perlu ke Kuching, Semenanjung dan luar negara.
” Ini merupakan antara hasrat yang sudah lama diinginkan golongan belia kami di Kapit ini,” jelasnya.
Bagi Veronnica Olivia, peluang perkerjaan juga antara perkara yang dinanti-nantikan belia di Kapit.
“Contohnya, kerajaan boleh membina kilang di Kapit. Jadi, kami di sini tidak perlu ke Sibu atau tempat lain untuk mencari peluang pekerjaan,” katanya.
Tambahnya, peluang pekerjaan yang disediakan memudahkan mereka untuk bekerja dan mencari rezeki tanpa bergantung kepada ibu bapa dan sekaligus membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung keluarga.
Sementara itu, Lovynner Linang berpendapat Kapit memerlukan fasiliti sukan yang lebih lengkap seperti stadium, kolam renang dan pusat latihan sukan sama seperti di bandar.
“Kemudahan sukan ini bukan hanya untuk tujuan kecergasan semata-mata, tetapi pada masa yang sama mampu mengasah bakat-bakat baru anak muda di Kapit yang boleh diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya. -TVS