LAWAS, 6 Dis: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak selepas penamaan calon selesai sebentar tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari, Ladin Atok berkata, selepas tempoh penyerahan borang tamat, SPR menerima dan mengesahkan tiga calon layak bertanding pada PRN kali ini.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwakili Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) diwakili Alias Mail dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) diwakili Riyah Basrah.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai, saya berpuas hati. Saya memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya. -TVS