SATOK, 5 Dis: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok akan memperlihatkan pertembungan tiga penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini.
Datuk Ibrahim Baki disahkan sebagai calon GPS setelah penyandang sebelum ini yang juga Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beralih bertanding di kerusi DUN Gedong.
Ketika proses penamaan calon awal pagi tadi, Ibrahim diiringi oleh pencadang , Hilmy Othman dan penyokong Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Jalan Haji Bolhassan pada jam 8.46 pagi.
Ibrahim bakal ditentang wakil PBK, Awang Badele dan wakil PKR, Datuk Ir Dr. Nor Irwan Ahmat Nor.
Kesemua borang telah diserahkan sebelum jam 9.10 pagi dan senarai calon yang akan bertanding telah disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN N.8 Satok, Dr Hadysyam Junaidi.
PKR dilanda ‘kontroversi’ berhubung calon untuk kerusi ini kerana beberapa hari lepas, parti itu menamakan Nor Dahlia Esapian sebagai calon namun telah digantikan dengan Dr. Irwan tanpa sebarang sebab yang dinyatakan. -TVS