Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

#PRN12Sarawak: Abang Johari dedah sebab ‘pindah’ ke Gedong

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 6 Dis : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan keputusan berpindah kawasan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini adalah disebabkan beliau mahu berkhidmat di kawasan luar bandar sebelum bersara.

Abang Johari berkata, setelah 40 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di Satok, beliau mahu berkhidmat di kawasan luar bandar iaitu Gedong.

Dipetik daripada Facebook Sarawakku, Abang Johari mengakui terdapat juga beberapa pelawaan untuk bertanding di DUN lain namun beliau memilih Gedong.

“Akhirnya saya mempertimbangkan tawaran untuk berpindah ke Gedong,” katanya ketika berucap pada majlis bersama penyokong di Gedong petang semalam.

Sebelum ini, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding sebanyak sembilan kali di DUN Satok.

Pada PRN Ke-11 lalu, beliau mempertahankan kerusi berkenaan selepas meraih undian sebanyak 6,854 sekaligus menewaskan wakil PKR, Mohamed Salleh Shawkatali yang meraih 1,809 undi.

Di DUN Gedong pula, Datuk Mohd. Naroden Majais menang kerusi itu dengan meraih 4,064 undi pada PRN Ke-11 lalu setelah menewaskan wakil PAN, Rapelson Richard Hamid yang mendapat 699 undi dan calon bebas, Uja Bansi yang meraih 396 undi.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mengumumkan Daerah Kecil Gedong sudah dinaiktaraf kepada daerah bersama Daerah Kecil Sebuyau.

” Keputusan kabinet untuk menaik taraf beberapa daerah kecil ke daerah penuh termasuk daerah kecil Siburan dan Balai Ringin adalah sejajar dengan tempo pembangunan yang telah meningkat di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Naroden yang ingin bersara namun akan terus membantu untuk membangunkan kawasan Gedong dan persekitarannya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan