BAU, 6 Dis : Pengalaman sepenggal menjadi wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menjadi dorongan untuk Dato Henry Harry Jinep terus bekerja kuat dan berkhidmat untuk rakyat.
Beliau yang menjadi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN berkenaan mahu peluang terus diberikan kepadanya kerana masih banyak lagi pembangunan yang ingin dilakukan.
Pada masa sama , beliau mengakui beberapa masalah seperti capaian internet di kawasannya masih kurang memuaskan namun bersyukur kerana dibenarkan untuk berkempen secara fizikal.
“Saya akan berkempen dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Suarah Bau di sini hari ini selepas proses penamaan calon DUN berkenaan selesai.
Kerusi Tasik Biru menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini dengan Henry akan berdepan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Paul Shanon , Dr Tiki Lafe, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan wakil DAP, Granda Aing.
Mengulas mengenai ‘cabaran’ berkempen yang terbatas kerana SOP, Henry tidak melihat ia sebagai masalah besar kerana mempunyai pengalaman dalam lawatan kerja ketika pandemik COVID-19.
“Oleh itu, strategi pada PRN kali ini ialah dengan memberi fokus untuk mengingatkan penduduk mengenai pembangunan berterusan yang akan berlaku di bawah kerajaan GPS melalui peruntukan-peruntukan sedia ada,” katanya.
Beliau juga menaruh kepercayaan bahawa rakyat sudah sedar dan boleh menilai perkhidmatan yang telah diberikan sejak lima tahun lepas.
“Sekarang kita kembali kepada rakyat untuk menilai semula pencapaian kita selama ini,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Henry menegaskan beliau bukan wakil rakyat bermusim yang hanya akan turun padang menjelang pilihan raya. -TVS