Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bertanding PRN Ke-12 Sarawak, Ali Biju berdepan tindakan disiplin – Bersatu

ByFirdaus Ismail


KUCHING, 6 Dis : Tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak telah ‘membuka ruang’ untuk beliau dikenakan tindakan disiplin oleh partinya iaitu Bersatu.

Portal Astro Awani dan Free Malaysia Today melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai berkata, Perlembagaan parti itu jelas menetapkan bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berdepan tindakan disiplin termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.

Wan Saiful berkata, peraturan sama turut terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini.

“Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” katanya dipetik portal – portal berkenaan.

Kenyataan Wan Saiful itu dipercayai mengajak ahli Bersatu di Sarawak supaya memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti ketetapan parti baru – baru ini.

Ali Biju yang juga Ahli Parlimen Saratok membuat ‘kejutan’ hari ini apabila muncul menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian hari ini ketika proses penamaan calon berlangsung.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu akan berdepan saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik yang ditampilkan GPS.

Kemunculan Ali itu sekaligus dilihat ‘ mengingkari’ arahan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa partinya tidak akan bertanding pada PRN Ke-12 Sarawak sebagai menghormati GPS selain yakin kemampuan gabungan parti-parti tempatan di negeri itu untuk menang semua 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pada PRN Ke-11 lalu, Ali yang ketika itu bertanding atas tiket PKR menang kerusi berkenaan dengan majoriti 1,640 selepas menewaskan wakil Parti Demokratik Progresif (PDP), Kilat Beriak.

Sementara itu, halaman Facebook Ali hari ini memuat naik poster menyeru sokongan pengundi kepadanya dengan tagline Krian Terus Maju, Pertahankan Kubu serta menggunakan lambang kerusi . -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan