Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

SOP PRN Ke-12 Sarawak : Ceramah dan syarahan fizikal tidak dibenarkan

ByIsma Haziq

KUCHING, 5 Dis : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

SPR menerusi laman webnya memaklumkan kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan melalui portal enterSarawak.

“Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” kata SPR berhubung Dokumen SOP pencegahan COVID-19 PRN Sarawak yang dimuat naik hari ini.

SPR menegaskan aktiviti berkempen yang dibenarkan adalah terhad di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan tidak dibenarkan merentas DUN yang lain.

“Pengecualian diberikan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk mengemukakan 15 nama pemimpin kanan setiap parti yang bertanding bagi tujuan merentas DUN kepada JPBN Sarawak dan SPR,” kata SPR.

Dalam pada itu, SPR menyatakan kebenaran untuk merentas sempadan daerah atau negeri bagi tujuan mengundi adalah tertakluk kepada arahan tetap yang sedang berkuat kuasa.

Menurut SPR, pengundi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dalam masa 24 jam sebelum tarikh mengundi.

“Hanya pengundi yang didapati negatif COVID-19 dan mendapat kebenaran daripada pihak PDRM dibenarkan untuk keluar mengundi. Pengundi hendaklah mengemukakan dokumen berkaitan seperti maklumat pemilih dari aplikasi MySPR Semak atau semakan dari portal SPR kepada pihak PDRM untuk mendapat kebenaran keluar mengundi,” kata SPR.

Bagi pengundi yang berstatus positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk mengundi.

Manakala pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, pejabat kesihatan daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan