Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Projek empangan hidroelektrik Sarawak bukan sia-sia – Rundi

KUCHING, 5 Dis : Pembinaan projek mega empangan hidroelektrik di negeri ini seperti Bakun, Murum dan kini Baleh yang sedang dibina bukanlah sia-sia, sebaliknya ia terbukti dapat menjana pendapatan besar kepada kerajaan negeri dalam bidang eksport tenaga elektrik selain kegunaan domestik.

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata setakat ini, sekitar 98 peratus penduduk di negeri ini sudah menerima bekalan elektrik 24 jam melalui kedua-dua empangan berkenaan dan saluran lain termasuk tenaga solar di bawah Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Justeru, katanya lebihan tenaga daripada empangan ini digunakan bagi menjana pendapatan kerajaan negeri dengan mengeskport sumber tenaga itu secara komersial.

Menurutnya ketika ini, Sarawak menyalurkan tenaga elektrik ke Sabah dan Kalimantan di Indonesia, selain turut mengadakan rundingan dengan Brunei bagi membekalkan sumber tenaga ke negara itu. 

“Saya dengar-dengar Singapura pun memohon, jadi kalau begitu kita memerlukan penghasilan tenaga lebih besar. Jadi ia bukan satu perkara dan perancangan sia-sia kerana ia menguntungkan kerajaan Sarawak,” katanya kepada Bernama. 

Kerajaan Sarawak sebelum ini mengambil alih sepenuhnya pemilikan Empangan Hidro Elektrik Bakun yang mula beroperasi pada 2011 daripada kerajaan Persekutuan bagi menjana pendapatan melalui tenaga hidro.

Bakun mampu menjana antara 1,700 Megawatt (MW) sehingga 2,110 MW, manakala Empangan Hidroelektrik Murum yang mula beroperasi pada 2015, mampu menghasilkan antara 635 MW dan 944 MW tenaga elektrik. 

Pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak pula iaitu Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit yang bermula pada 2018 dijangka mampu menjana sehingga 1,285 MW dan akan memulakan operasinya pada 2026.

Stesen janakuasa ini dijangka mengukuhkan lagi usaha Sarawak mengembangkan tenaga diperbaharui bagi menampung permintaan tenaga untuk keperluan industri domestik selain eksport ke negara jiran, pada masa depan.

Sebelum ini, Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata , Sarawak Energy Berhad (SEB), syarikat tenaga milik kerajaan Sarawak sedang menerokai potensi empangan kuasa hidroelektrik di negeri ini bagi  mendapatkan bekalan tenaga dari kuasa hidro menerusi turbin dan kuasa solar menerusi solar terapung di empangannya.

Bagaimanapun ditanya sama ada Sarawak perlu membina lebih banyak empangan hidroelektrik, beliau berkata tiada keperluan buat masa sekarang memandangkan negeri ini sudah mempunyai bekalan tenaga mencukupi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan