BINTULU, Dis 4: Perasaan risau dan tidak sedap hati seorang anak setelah bapanya gagal dihubungi beberapa jam selepas keluar memancing akhirnya terjawab dengan penemuan mayat warga emas tersebut.
Bapanya, Wong Say Hing, 65 tahun telah ditemukan lemas, dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sibiew pagi tadi di sini.
Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya yang tiba di lokasi terus dimaklumkan anak mangsa bahawa bapanya ditemuinya dalam keadaan terapung di sungai tempatnya memancing.
“Pasukan Bomba Dan Penyelamat Bintulu yang menerima panggilan kecemasan kejadian orang jatuh sungai pada jam 10.30 pagi telah bergegas ke tempat kejadian di belakang sebuah hotel.
“Anggota bomba telah bertindak menaikkan mangsa ke darat menggunakan pengusung dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kami telah serahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.