KUCHING, 3 DIS: Tiada sebarang perarakan akan mengiringi calon yang bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), Isnin ini seperti kebiasaan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini bagi mengikut ketetapan melarang sebarang aktiviti berkumpul sepanjang proses berkenaan, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC). Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC,” katanya dalam satu kenyaataan hari ini.
Tegas beliau, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari tersebut.
“Bakal calon diminta mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon bagi melancarkan proses penamaan calon.
“Bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Tambahnya, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC. “Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.
“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.