Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Rumah panjang moden beri keselesaan kepada penghuni

KAPIT, 3 Dis : Pembinaan jalan raya, sambungan bekalan elektrik dan air serta pembinaan jambatan besi di kawasan rumah panjang antara keselesaan yang kini dinikmati oleh penduduk rumah panjang Rumah Musa Siawo yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.

Ia merupakan sebahagian daripada projek membina semula rumah panjang baharu yang lebih moden serta menerapkan konsep terkini.

Inisiatif Kerajaan Sarawak yang memberi peruntukan sebanyak RM50 juta melalui Skim Pinjaman Rumah Panjang telah memanfaatkan  1,604 pintu rumah panjang sejak tahun lepas.

 Tuai Rumah, Musa Siawo berkata, antara bantuan yang diberikan kerajaan adalah seperti mozek, bumbung rumah panjang dan batu bata untuk membuat dinding rumah.

 “Kami berasa lebih selesa tinggal di rumah panjang ini yang lebih moden dan strategik.

 “Walaupun rumah panjang ini belum siap sepenuhnya, kehidupan kami lebih baik berbanding dahulu,” katanya ketika ditemui TVS di sini baru – baru ini.

 Kata Musa, selepas ini mereka akan cuba untuk memohon semula bantuan daripada kerajaan untuk menyiapkan rumah panjangnya itu termasuk menyediakan kemudahan lain yang boleh digunakan penduduk.

Ditanya mengenai aktiviti utama yang dijalankan penduduk di rumah panjang, Musa menjelaskan mereka menjalankan aktiviti berkebun dan bercucuk tanam.

Tuai Rumah Musa Siawo

“Setakat ini projek yang diberikan kerajaan di bawah Jabatan Pertanian Sarawak ialah menanam durian Musang King.

 “Itu merupakan antara projek yang baharu sahaja dilaksanakan oleh penduduk di sini selain menanam sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan yang lain,” jelasnya.

 Sementara itu, Zuriya Siawo berkata, selain bercucuk tanam, golongan wanita di sini membuat kraftangan seperti menganyam tikar, bakul, membuat rantai manik dan tangu yang boleh dijual di pasar atau secara dalam talian termasuk penggunaan Facebook, Instagram dan aplikasi WhatApps

Menurut seorang lagi penduduk Rumah Musa, Nyering Manja, sebelum ini dia telah menerima beberapa bantuan peralatan pertanian daripada kerajaan seperti mesin rumput, enjin pam, baja dan racun.

“Peralatan yang disumbangkan membantu saya menjalankan aktiviti berkebun seperti menanam limau, cangkuk manis, pisang, nanas dan sayuran-sayuran,” jelasnya.

Selain itu, Nyering menyatakan hasratnya untuk membina kolam untuk menternak ikan dan ingin meminta bantuan daripada Jabatan Pertanian Sarawak kerana dia memiliki tanah dan kemahiran dalam menjalankan aktiviti penternakan ikan air tawar.

“Antara jenis ikan air tawar yang akan saya ternak ialah ikan Keli dan ikan Tilapia merah kerana mendapat permintaan yang tinggi di pasaran,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan