Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRN Sarawak: Bakal calon diminta buat semakan awal borang penamaan

KUCHING, 3 Dis- Bakal calon yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diseru agar membuat semakan awal pengisian borang penamaan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia bagi memudahkan proses penamaan calon dan bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR telah menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

Sementara itu, Ikmalrudin berkata hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon (PPC) pada hari berkenaan, dan penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.

“Kertas penamaan calon PRN Sarawak boleh dikemukakan bermula dari 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 PPC yang ditetapkan pada hari penamaan calon Isnin ini (6 Dis). Kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana salah seorang daripada mereka,” katanya.

Katanya bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Ikmalrudin berkata aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Beliau turut menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan