KAPIT, 2 Dis: Ikan sungai air tawar seperti Empurau, Semah, Tengadak, Labang dan sebagainya antara ikan yang sangat popular di bahagian tengah Sarawak terutamanya di Kapit dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Ikan-ikan ini juga mendapat permintaan yang tinggi walaupun kebanyakan harga di pasaran mampu mencecah ratusan dan ribuan ringgit.
Menurut Pengusaha Pekasam Ikan Semah, Cathrine Gai, dia memilih untuk menjual pekasam ikan Semah kerana mendapat permintaan yang banyak daripada pelanggan di sekitar Sarawak.
“Ramai pelanggan dari luar Kapit seperti dari Kuching, Sibu dan Miri membeli pekasam ikan Semah dan kami mengirim pesanan mereka menggunakan perkhidmatan bas dan tambang ditanggung oleh pembeli sendiri.
“Semua ikan Semah yang dijadikan pekasam adalah hasil tangkapan penduduk tempatan dari Sungai seperti dari Baleh dan Gat, bukan ikan yang diternak di dalam kolam,” katanya.
Kata Catherine, dia sudah menceburi bidang membuat dan menjual pekasam lebih tiga tahun dan antara jenis ikan lain yang dijadikan pekasam ialah pekasam ikan Empurau, Adong, Kulong dan ikan sungai yang lain.
Harga pekasam ikan Semah yang ditetapkan oleh Catherine bermula daripada RM70 sekilogram sehingga RM90 sekilogram mengikut saiz dan jenis pekasam ikan yang mahu dibeli pelanggan.
“Kadang-kadang setiap kali hujung minggu saya boleh menjual 15 hingga 20 kilo pekasam ikan. Ada juga pelanggan yang datang terus ke gerai dan membeli pekasam dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa balik,” tambahnya.
Tambahnya, semua pekasam ikan yang dibuatnya boleh bertahan sehingga berbulan-bulan kerana ramuan yang digunakan membantu membuatkan ikan kelihatan sentiasa segar.
Sementara itu, Pengusaha Ikan Sejuk Beku Loh Hoe Hua atau lebih dikenali dengan nama Ah Hua berkata, permintaan ikan sejuk beku yang dijualnya ada sedikit berkurang tetapi masih menerima permintaan daripada pelanggan tetap dan orang ramai yang mencari ikan sejuk beku.
“Dalam sebulan kadang-kadang saya boleh menjual dua hingga tiga ekor ikan Empurau. Tetapi, sekarang ekonomi ada sedikit ‘lembab’ jika dibandingkan dulu memang banyak pelanggan yang mahu membeli ikan sejuk beku saya.
“Ikan Empurau saya ambil dari kawasan Baleh, Sungai Rajang dan di sekitar Kapit. Kebanyakan pelanggan tetap saya di kawasan Kapit, Sibu dan Kuching dan Singapura,” katanya.
Jelas Loh, harga ikan Empurau yang dijual sekilogram boleh mencecah RM800, Tengadak (RM250), Semah saiz besar (RM250), Semah saiz kecil (RM200) dan Labang (RM90).
“Selain itu antara ikan sejuk beku lain ada dijual seperti ikan Mengalan, ikan Padi, dan ikan Tapah.
“Saya pernah menjual seekor ikan Empurau pada harga RM9,900 dan harga ikan ini memang sentiasa tinggi kerana ianya ditangkap dari habitat asal iaitu kawasan sungai dan berkualiti,” tambahnya.